PENGENALAN
Kemahiran motor halus adalah kemahiran yang
melibatkan pengawalan otot-otot kecil pada tangan, pergelangan tangan,
jari-jari tangan, kaki, jari kaki, bibir dan lidah. Seperti yang telah
dijelaskan sebelum ini motor halus juga melibatkan koordinasi pergerakan otot
kecil dan organ deria seperti pergerakan pada jari tangan dan koordinasinya
dengan mata.
Dalam meningkatkan kemahiran motor halus
ini, kanak-kanak akan berkebolehan melakukan aktiviti harian mereka sendiri.
Contohnya kanak-kanak yang berumur 3 tahun dapat menggunakan sudu dengan betul.
Bagi kanak-kanak yang lebih besar seperti berumur 5 tahun, mereka mungkin telah
dapat menggunakan gunting untuk memotong kertas dan membuat bentuk. Manakala
kanak-kanak yang berumur 6 tahun mereka berkebolehan mengikat tali kasut
mereka.
Kemahiran kanak-kanak menggunakan gerakan
tangan dan jari untuk melakukan sesuatu aktiviti dinamakan ‘dexterity’.
Kemahiran ini turut melibatkan kebolehan mengkoordinasi mata dengan otot kecil
tangan. Kemahiran ini paling banyak digunakan dalam proses tumbesaran
kanak-kanak. Semasa kecil kanak-kanak telah mula belajar untuk memegang sesuatu
pada tapak tangan mereka. Perkembangan ini berterusan sehingga mereka dapat
menulis, melukis atau melakukan tugasan seperti memasang butang baju atau
mengikat tali kasut dengan baik.
Ciri motor halus ini penting bagi kita
khususnya dalam memahami perkembangan motor halus kanak-kanak. Selain itu, kita
sebagai guru juga harus mengetahui ciri. Guru perlu tahu faktor-faktor yang
harus dipertimbangkan dalam membuat perancangan pembelajaran kanak-kanak.
Sebagai contoh pembelajaran kemahiran menulis, adalah penting kita memahami
perkembangan motor halus dalam pengawalan pensil untuk kanak-kanak ini menulis.
Guru harus tahu cara pengawalan gengaman jari tangan kanak-kanak. Sekiranya
guru mengetahui bahawa kanak-kanak masih di peringkat mengembangkan kemahiran
mereka, guru ini akan mempertimbangkan beberapa penyelarasan dan penyesuaian
bagi membantu kanak-kanak ini menulis dengan baik. Contohnya guru harus mempertimbangkan
saiz, bentuk dan panjang pensil yang sesuai untuk kanak-kanak ini mula menulis.
Bagi kemahiran melukis pula, kajian yang
telah dijalankan oleh Rhonda Kellogg, khususnya bagi kanak-kanak berumur 2 – 8
tahun mendapati bakat artis kanak-kanak bermula dengan lakaran simbol yang
tertentu. Pada peringkat awal kanak-kanak akan melukis simbol sepert bentuk
bulat, empat segi dan garisan lurus. Apabila kanak-kanak ini berumur 3 tahun
mereka mula membuat bentuk muka, umur 4 tahun melukis gambar orang. Umur 5
tahun lukisan orang ini lebih baik dengan lukisan kaki dan tangan yang lebih
lengkap beserta baju dan seluar. Pada tahap ini juga mereka telah dapat melukis
objek lain seperti rumah, haiwan dan pokok.
Satu lagi cara untuk membantu kanak-kanak
mengembangkan motor halus mereka adalah dengan menggunakan bahan bantu yang
bersesuaian. Contohnya bagi kanak-kanak yang baru hendak melukis penggunaan
pensil krayon mungkin kurang sesuai memandangkan saiz pensil krayon yang agak
kecil. Oleh itu kita seharusnya memberikan kanak-kanak saiz pensil warna yang
agak besar bagi memudahkan mereka memegang pensil tersebut. Pensil yang
berbentuk tiga segi juga dapat membantu kanak-kanak memegang pensil dengan
kemas. Kemahiran gengaman seperti ini secara tidak langsung dapat meningkatkan
keyakinan diri kanak-kanak dalam pengawalan motor halus mereka.
Selain itu, cara postur kedudukan tangan
dan badan yang betul juga dapat meningkatkan kemahiran motor halus. Kedudukkan
tangan, kaki dan badan ini sangat penting dalam melaksana tugas yang memerlukan
kemahiran motor halus. Craig dan Digdon (2001), menyatakan .kanak-kanak
seharusnya dididik cara duduk yang betul dengan punggung, lutut dan kaki berada
dalam kedudukan 90˚ dengan kedudukan badan mereka agak ke depan sedikit.
Kedudukan meja pula seharusnya 2 inci dari siku ketika tangan mereka dalam
kedudukan rehat. Sekiranya kerusi mereka terlalu tinggi dan kaki mereka tergantung,
letakkan alas kaki agar mereka selesa. Apabila keadaan selesa kanak-kanak dapat
mengerakkan tangan, lengan, dan jari dengan stabil.
PERKEMBANGAN MOTOR HALUS MENGIKUT USIA
• Usia 1 – 6 Bulan
Pada usia 1 hingga 6 bulan bayi berupaya
memberi fokus kepada objek yang hadir dalam pandangan mereka. Bayi juga boleh
memberi perhatian kepada ibubapa atau orang dewasa yang menjaganya. Bayi juga
mampu merenung kepada cahaya yang terang, ini juga adalah sebahagian dari
tindak balas semulajadi bayi. Beberapa tindak balas awal terhadap rangsangan
juga diperhatikan pada bayi. Bayi juga boleh mengikut pergerakan objek yang
lalu di hadapan mereka. Pada saat ini bayi menerima stimuli visual yang sangat
pesat.
• Usia 6 – 9 Bulan
Bayi sangat peka kepada barangan yang menarik
perhatian mereka walaupun barangan permainan itu adalah kecil tatapi ianya
berada dalam lingkungan pemandangan mereka.namun begitu perhatian mereka
terhadap objek akan hilang sekiranya objek itu hilang dari pandangan mereka
atau perhatian mereka telah beralih kepada ransangan yang lain. Bayi akan cuba
mengapai objek yang menarik perhatian mereka dengan sebelah tangan sambil
memandang kepada objek tersebut, kemudiannya akan mengalihkan objek itu ke
tangan yang satu lagi. Bayi menggunakan jari telunjuk untuk menunjuk ke arah
sesuatu yang mereka mahu atau sesuatu yang menarik perhatian mereka.
• Usia 9 – 18 Bulan
Penumpuan bayi terhadap perkara atau objek yang
menarik perhatian mereka akan menjadi lebih baik di mana bayi akan terus cuba
mendapatkan objek yang mereka mahu walaupun objek itu sudah hilang dari kawasan
pemandangan mereka. Bayi yang kini kanak-kanak mampu menggunakan jari telunjuk
dan ibu jari ( Pincher grasp ) untuk mengambil barang yang mereka mahu.
Kanak-kanak juga boleh menggunakan tiga jari (tripod grasp) untuk mengambil
barang. Kebolehan bertepuk tangan, bermain, membina, menyusun bata adalah kemahiran
motor halus yang dikuasai oleh kanak-kanak dari usia 9 hingga 18 bulan.
Kebolehan Tripod grasp yang lebih baik membolehkan kanak-kanak menggunakan
pensil untuk menconteng.
• Usia 18 Bulan – 5 Tahun
Pada usia 18 bulan hingga 5 tahun kanak-kanak
sudah berupaya membuat pilihan atau kecenderungan penggunaan tangan ; sama ada
tangan kanan atau kiri/kidal. Keupayaan menggunakan dua jari dan tripod grasp
telah menjadikan mereka mampu untuk menyelak muka surat buku. Mereka juga mampu
membina menara. Kanak-kanak pada usia ini sangat meminati lukisan dan sangat
suka melukis kerana mereka sudah boleh menghasilkan bentuk- bentuk yang mungkin
memberi makna kepada mereka. Pada ketika ini juga kanak-kanak boleh menggunakan
gunting dengan baik. Koordinasi mata dengan tangan yang baik membolehkan
kanak-kanak menguntai manik.
• Usia 5 – 7 Tahun
Pengawasan pensil yang baik berlaku di usia
ini. Kanak-kanak juga mampu mencucuk benang pada jarum yang besar dan menjahit.
Penulisan menjadi lebih baik begitu juga dengan lukisan.
PERKEMBANGAN MOTOR HALUS KANAK-KANAK PRASEKOLAH
Koordinasi mata dan tangan yang digunakan untuk
menggunting dengan sempurna adalah satu kemahiran motor halus yang biasanya
dapat dilakukan oleh kanak-kanak di usia prasekolah. Kanak- kanak biasanya
sudah boleh mengutip dengan menggunakan dua jari; iaitu jari telunjuk dan ibu
jari ( Pincher Grasp ), namun mereka memerlukan masa yang lebih panjang untuk
menggunakan Pincher Grasp dengan lebih baik.
Pada usia prasekolah juga kanak-kanak
akan lebih matang dalam perkembangan motor halus mereka. Pada usia dua tahun,
kanak-kanak sudah mampu untuk membuat contengan bebas, menyarung pakaian,
mengalihkan mukasurat buku dan membina menara dari enam hingga lapan buah blok.
Pada usia tiga tahun, perkembangan motor halus kanak-kanak akan menjadi lebih
matang apabila mereka boleh makan menggunakan sudu, menconteng berbentuk
bulatan. Pada usia empat tahun pula, kanak-kanak sudah mampu menyarung pakaian
mereka sendiri, melukis lakaran manusia dan menggunakan gunting dan menggunting
garisan yang disediakan. Kemahiran motor halus yang lebih rumit seperti
mengenakan butang akan dapat dilakukan oleh kanak-kanak apabila mereka berusia
5 tahun Mereka juga sudah boleh mengenakan zip, membuka zip dan mencucuk benang
dan manik.
Isu sama ada kanak-kanak itu seorang yang
kidal atau menggunakan tangan kanan juga menjadi perhatian semasa usia
prasekolah. Ini adalah kerana pada usia ini terserlahlah samada kanak-kanak itu
menggunakan tangan kanan atau kidal. Namun begitu kidal atau kanan adalah lebih
bergantung kepada faktor genetik berbanding dengan faktor persekitaran.
AKTIVITI UNTUK MENINGKATKAN KEMAHIRAN MOTOR
HALUS KANAK-KANAK
• Aktiviti motor halus adalah aktiviti yang
menggunakan kecekapan koordinasi mata dan tangan. Terdapat beberapa aktiviti
yang boleh dijalankan oleh guru untuk membantu perkembangan motor halus
kanak-kanak.
• Aktiviti menuang bahan dari bekas yang besar
ke bekas yang kecil. Bahan-bahan yang boleh digunakan untuk aktiviti ini adalah
seperti air, pasir dan bijirin.
• Aktiviti menggunting merupakan aktiviti yang
paling baik untuk kemahiran motor halus kanak-kanak. Kanak-kanak boleh
diberikan latihan untuk menggunting bentuk-bentuk yang besar pada awalnya dan
seterusnya guntinggan-guntingan yang lebih rumit.
• Kolaj ~ Pelbagai jenis kolaj yang menggunakan
pelbagai jenis bahan boleh membantu perkembangan motor halus kanak-kanak.
Kemahiran menampal kolaj menambahkan kecekapan motor halus kanak-kanak.
• Aktiviti mengoyak kertas atau surat khabar
boleh meningkatkan kecekapan motor halus kanak-kanak.
• Menyulam manik
• Menekap gambar yang sedia ada
• Membentuk plastisin menjadi bola menggunakan
kedua tapak tangan.
• Membentuk plastisin menjadi biji menggunakan
jari.
• Mengocak dadu menggunakan genggaman tapak
tangan.
• Membuat aktiviti mengait dan menjahit seperti
memasukkan manik pada benang.
• Bermain permainan seperti "puppet "
– dengan menggunakan ibu jari, jari tengah dan jari kelengkeng.
• Mengikat tali kasut
MATLAMAT PEMBELAJARAN MOTOR HALUS PPK (2003)
Pusat Perkembangan Kurikulum (2003) telah
mengariskan beberapa matlamat dan hasil pembelajaran motor halus bagi
kanak-kanak dalam Kurikulum Kebangsaan Prasekolah. Matlamat umum perkembangan
motor halus adalah kanak-kanak dapat menguasai kemahiran motor halus. Secara
lebih khusus, matlamat penguasaan kemahiran motor halus ini adalah dapat
menggunakan jari untuk melakukan beberapa aktiviti. Jadual 3.1 di bawah berikut
menunjukkan kandungan dan hasil pembelajaran motor halus. Hasil pembelajaran
ini memberikan fokus perkembangan penggunaan jari tangan kanak-kanak bagi
membuat aktiviti motor halus.
MASALAH PENGUASAAN KEMAHIRAN MOTOR HALUS
Gerakan motor halus merupakan salah satu
perkembangan yang penting dalam pergerakan anggota badan kanak-kanak. Semasa di
peringkat perkembangan ini, gerakan motor halus seperti meminta kanak-kanak
mengikat tali kasut atau memasang butang baju merupakan cabaran yang besar bagi
kanak-kanak berbanding gerakan motor kasar. Pada peringkat ini sistem saraf
pusat mereka masih belum mencapai tahap kematangan yang sepenuhnya. Oleh itu
proses penghantaran maklumat dalam sistem saraf ke jari tangan masih agak
sukar. Selain itu, otot kecil juga lebih cepat letih berbanding otot besar.
Jari yang masih kecil juga menyukarkan kanka-kanak ini untuk mengawalnya. Semua
cabaran penggunan motor halus ini memerlukan lebih kesabaran bagi kanak-kanak
yang secara umumnya belum lagi memiliki sikap sabar ini.
Kemahiran gerakan motor halus juga boleh
menjadi lambat disebabkan beberapa faktor antaranya; kecederaan, penyakit,
stroke atau keadaan tidak normal sejak lahir. Kanak-kanak yang berumur 5 tahun
dan ke atas tetapi tidak menunjukkan perkembangan motor halus yang baharu
kemungkinan mengalami masalah dalam membuat gerakan motor halus. Masalah ini
juga boleh berkait dengan keadaan kesihatan kanak-kanak seperti penyakit sawan,
terencat akal, buta, pekak atau disebabkan diabetes. Kanak-kanak yang
menunjukkan perkembangan yang lambat dalam kemahiran motor halus ini juga akan
mempunyai masalah dalam mengawal koordinasi pergerakan badan khususnya bahagian
muka, tangan dan jari.
Sesetengah tanda terencat perkembangan
motor boleh dilihat semasa kanak-kanak ini berumur 2 tahun. Tanda-tanda ini
adalah seperti kesukaran untuk duduk atau mengangkat kepala, sukar berdiri jika
tidak dibantu, sukar untuk bergerak seperti merangkak, atau tempoh berjalan
yang agak lambat. Perkembangan lambat bagi motor halus pula kadang kala dapat
dilihat ketika kanak-kanak berada di peringkat prasekolah. Contohnya
kanak-kanak ini sukar untuk memegang pensil, sukar untuk melukis atau sukar
memasang butang baju. Oleh itu ibu bapa, penjaga dan guru harus faham tentang
perkembangan dan keperluan motor halus kanak-kanak agar perkembangan mereka
dapat dibantu dengan sebaiknya.
Oleh itu, bagi membantu kanak-kanak
menguasai kemahiran motor halus memerlukan perancangan, masa, dan pelbagai
bahan bantu. Perkembangan motor halus dapat digalakkan dengan aktiviti yang
seronok, termasuk seperti permainan kraf, jigsaw, dan membina blok lego.
Meminta kanak-kanak membantu ibubapa membuat kerja rumah seperti memotong buah,
atau mengacau tepung juga merupakan aktiviti yang baik untuk perkembangan motor
halus mereka. Selain itu ia juga dapat meningkatkan kebolehan koordinasi
tangan-mata. Oleh kerana perkembangan motor halus memainkan peranan yang
penting dalam persediaan kanak-kanak memasuki sekolah dan perkembangan kognitif
maka kemahiran ini seharusnya diberi perhatian dalam kurikulum prasekolah.
tanx nak guna untuk asssigement
ReplyDeleteTrima kasih informasi'y . sgt brguna utk latihan sy . 😁
ReplyDeleteTrima kasih informasi'y . sgt brguna utk latihan sy . 😁
ReplyDelete