Terkini di WaJIP

Terkini di WaJIP

Info & Isu Terkini WaJIP

Sebarang info terkini mahupun isu-isu semasa akan dipaparkan disini untuk perkongsian bersama. Terima Kasih.

Thursday 16 August 2012


selamat hari raya diucapkan kepada semua warga JIP yang beragama Islam. Kepada mereka yang memandu kenderaan, diharap memandu dengan cermat agar tiba dengan selamat di destinasi yang ingin dituju.

Duit raya menjadi idaman,
Ketupat rendang menjadi realiti,
Kepada Warga JIP sekalian,
Jari disusun memohon kemaafan.


Tuesday 14 August 2012

PENDEKATAN TEKNOLOGI MAKLUMAT & KOMUNIKASI (TMK)



Kita tahu penggunaan komputer di prasekolah pada masa ini bukan satu perkara yang luar biasa, malah kebanyakan kanak-kanak sekarang sudah mula celik it berbanding kanak-kanak pada zaman dahulu. Sememangnya pengunaan komputer dan multimedia ini penting dalam P&P, kerana ia dapat memupuk pelbagai kecekapan seperti menggalakkan potensi imaginative, kreatif, emosi dan pemikiran logik dan kritikal. Bagi penggunaan komputer dan multimedia dalam pengajaran, guru perlu memilih perisian yang sesuai dengan kurikulum supaya kecerdasan atau IQ kanak-kanak dapat dikukuhkan dari segi pengalaman , pelbagai kecekapan dan peluang pembelajaran dalam melahirkan perasaan.
 
Pendekatan ini digunakan untuk :
  • Membantu proses pengajaran dan pembelajaran;
  • Memperolehi maklumat;
  • Berinteraksi dengan bahan untuk belajar sendiri dan bersama rakan sebaya; dan
  • Memperkayakan pengalaman pembelajaran.


PENDEKATAN BERSEPADU


Pendekatan bersepadu dalam mengendalikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran membantu murid memahami hakikat kehidupan sebenar. Dalam kehidupan sebenar sesuatu itu saling berkaitan antara satu sama lain dan bukannya sesuatu yang terpisah-pisah.
Pendekatan bersepadu melibatkan :
  •  Kesepaduan antara komponen;
  • Kesepaduan kemahiran, kemahiran dan nilai murni;
  • Kesepaduan aktiviti dalam kelas dan luar kelas;
  • Kesepaduan aktiviti berfokuskan guru dan berfokuskan murid; dan
  • Kesepaduan pelbagai kaedah dan teknik.


PENDEKATAN BELAJAR SAMBIL BERMAIN



PENGENALAN
Belajar melalui bermain adalah satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kepada kanak-kanak. Melalui teknik ini juga akan mendatangkan keseronokkan dan kepuasan kepada mereka dalam sesuatu pengajaran yang hendak disampaikan. Dengan bermain juga kanak-kanak akan dapat menguasai perkembangan dan kemahiran fizikal dan penguasaan bahasa dari segi perbendaharaan dan peraturan tatabahasa.
Menurut Mak Soon Sang, dalam bukunya Pendekatan dan Strategi Pengajaran, main merupakan satu teknik mengajar yang memberi peluang kepada murid-murid melakukan sesuatu aktiviti secara berpura-pura di dalam keadaan terkawal. Pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah berlandaskan prinsip belajar sambil bermain. Aktiviti bermain adalah kerja kanak-kanak.
Menurut Buku Panduan Guru (Pusat Perkembangan Kurikulum), belajar melalui bermain adalah satu pendekatan yang terancang dan berstruktur bagi memberi peluang kepada murid belajar dalam suasana yang bebas dan selamat, menggembirakan dan bermakna
Permainan merupakan saluran yang boleh mengembangkan perkembangan kanak-kanak ke tahap yang optima. Oleh kerana permainan merupakan sesuatu kekuatan dan pengalaman yang penting menjadi asas dalam model pendidikan awal kanak-kanak.


DEFINISI MAIN
Main atau bermain secara amnya boleh didefinisikan sebagai sebarang aktiviti yang memberikan kegembiraan dan kepuasan kepada kanak-kanak tanpa menimbangkan apakah hasil aktiviti itu. Dengan lain perkataan, kanak-kanak bermain bukan kerana ingin akan sesuatu atau mencapai tujuan tertentu.
Bermain dianggap sebagai satu pekerjaan bagi kanak-kanak, tetapi bukanlah pekerjaan yang memerlukan hasil akhiran atau tujuan tertentu. Bermain juga bukanlah satu aktiviti yang dipaksa malah merupakan keinginan semulajadi kanak-kanak (Kraus, 1990). Lazimnya apabila sesuatu tugasan itu dianggap mudah, tugasan tersebut sering dirujuk sebagai mainan kanak-kanak memandangkan tidak wujudnya komplikasi dan merupakan nilai yang paling berharga buat perkembangan kanak-kanak.
Carr, dalam teori nya menyatakan, main adalah penting kepada kanak-kanak kerana main menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk meluahkan pendapat masing-masing (Kraus, 1990). Mengikut Carr, main merupakan pengalaman katartik, memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meluahkan emosi yang negatif. Sebagai contoh kanak-kanak yang berusia empat tahun yang baru sahaja mendapat adik baru akan mengalami pengalaman negatif seperti penolakan kasih sayang dan perasaan permusuhan terhadap adik tersebut. Untuk perihal ini, main dikatakan dapat menyuarakan perasaan kecewa tersebut.
Menurut Caplan dan Caplan 1973, main sebagai penentu penting bagi perkembagan kekuatan sahsiah, daya cipta, kestabilan emosi, perkembangan sosial dan intelek di samping dapat memperkembangkan kekuatan fizikal, koordinasi dan ketangkasan seseorang murid.
Dari aspek psikoanalisis, mengikut Freud pula, main memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memperolehi perasaan dapat mengawal keadaan yang dikatakan dapat membantu kanak-kanak untuk berurusan dengan realiti sebenar (Kraua, 1990).
Almy (1984, Fagen) menyatakan kanak-kanak bermain dengan di arah oleh diri mereka sendiri tanpa mengambilkira tujuan bermain. Semasa bermain, mereka, bebas dari segala peraturan. Melalui permainan, kanak-kanak mendapat tingkah laku yang baru. Kanak-kanak melibatkan diri dalam permainan secara aktif. Apa yang dikemukakan oleh Almy bersesuaian dengan pandangan Rubin, Fein, dan Vendenberg (1983).
Permainan juga dapat memberi pengalaman tentang keadilan, peraturan-peraturan dan kesamaan serta memperkuatkan kebolehan berfikir dalam pelbagai cara. Di antara permainan lazim yang dimainkan dalam bilik darjah teka-teki, teka silang kata, kad-kad nombor, kad-kad bergambar, catur dan sebagainya. Selain itu bermain adalah satu bentuk kesenian kanak-kanak. Ia merupakan saluran untuk melahirkan perasaan dan punca untuk mendapatkan kegembiraan dan keseronokan.
CIRI-CIRI MAIN DALAM P&P PRASEKOLAH
Pertama, main adalah motivasi dalaman. Lenyap dengan sendiri, berlaku hanya untuk kepuasan semasa melakukannya. Kedua, ciri-ciri yang berkaitan dengan main mestilah ada kebebasan memilih oleh peserta” . ( Fergus 1995,2).
Mengikut Vygotsky (1967) “Main membantu perkembangan bahasa dan pemikiran. Struktur otak akan membentuk melalui penggunaan simbol dan alat, ia juga membantu dalam pembentukan ini. Main juga memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk meluahkan tekanan dalam menghadapi dunia sebenar. Dalam cara ini kanak-kanak dapat mengawal situasi dan menyesuaikannya dalam dunia sebenar. Mereka dibenarkan untuk memperolehi proses pemikiran yang tinggi melalui bermain”. (Spodek et al. 1987, p. 181).
Jerome Singer (Spodek,1987) menganggap “imaginative play” sebagai usaha kanak-kanak menggunakan kebolehan fizikal dan mental mereka dalam menyusun pengalaman. Beliau juga berpendapat bahawa dalam permainan, kanak-kanak meneroka alam yang boleh menjadikan mereka berkebolehan dalam menghadapi masalah persekitaran dan boleh menjadikan mereka kreatif.
Secara ringkasnya, aktiviti main dapat memberangsangkan perkembangan bahasa. Dalam konteks main bebas, kanak-kanak dapat melatih bahasa yang baru dikuasai, mempelbagaikan perbendaharaan kata serta membenarkan kesalahan dan pembetulan bahasa. Selain itu, aktiviti main yang berlainan sama ada main sosial atau main kognitif juga akan memberangsangkan aspek-aspek perkembangan bahasa yang tertentu.
Dalam dunia pendidikan prasekolah, pendidikan dilaksanakan berdasarkan kurikulum yang digunapakai. Dalam konteks prasekolah di Malaysia, khususnya dari perspektif kurikulum, main atau bermain itu bukanlah main yang bebas tanpa perancangan tetapi main yang mempunyai unsur seperti:

i. main yang terancang
ii. main yang berstruktur
iii. main yang fleksibel
iv. memenuhi keperluan kognitif, psikomotor dan afektif
Untuk itu dalam perancangan dan pelaksanaan bermain sambil belajar, main merupakan perkara penting dalam merealisasikan aktiviti bermain dalam pendidikan prasekolah, khususnya dalam membantu perkembangan kanak-kanak dan ianya tidak akan bermakna tanpa perancangan yang teratur. Antara perancangan adalah pemilihan bahan main samada bahan jenis menumpu atau mencapah. Banyak pendapat yang boleh menjadi panduan kepada penggunaan bahan main. Antara yang telah disebut oleh Hughes (1999) yang menyatakan
Divergent objects may guide children to numerous approaches, leading them to appreciate the fact that problems may have multiple solutions. Banyak kebaikan dalam penggunaan bahan mencapah dalam main. Antaranya ialah:
i. mengalakkan imaginasi
ii. memberi peluang kanak-kanak untuk mencipta dan mencuba
iii. menggalakkan kanak-kanak bekerjasama dan hubungan sosial
iv. membina keyakinan diri
v. berorientasikan proses bukan hasil, dan lain-lain kebaikan terutama yang banyak melibatkan jenis bahan seperti bahan kemahiran, bahan motor kasar, bahan manipulatif, bahan binaan, bahan peluahan kendiri dan bahan semulajadi.
Main bukan sahaja dianggap penting dewasa ini malah sejak dari dahulu lagi. Tidak hairan jika dalam abad ke 21, main diambil sebagai salah satu dari kaedah pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak.
JENIS PERMAINAN
i) Permainan ‘solitary’
Kanak-kanak bermain sendirian dan tidak berkaitan dengan orang lain atau secara bebas. Permainan ini dianggap kebudak-budakan dan tidak matang. Tetapi pengkaji percaya, jenis permainan ini boleh dijadikan pengalaman yang matang dan menggembirakan.
ii.) Permainan ‘parallel’
Kanak-kanak bermain secara bebas dan bersendirian tetapi berhampiran dengan kanak-kanak lain. Misalnya,dua orang kanak-kanak mungkin bermain benda yang sama tetapi tidak bermain bersama-sama.
iii) Permainan ‘associative’
Seorang kanak-kanak bersama kanak-kanak lain terlibat dalam aktiviti yang sama tetapi tidak ada kerjasama ataupun menjadikan minat sendiri kepada minat kumpulan. Misalnya, beberapa orang kanak-kanak mahu menjadi emak dan ayah dalam kumpulan tersebut. Guru perlu campur tangan dan memberi cadangan.
iv)Permainan ‘cooperative’
Seorang kanak-kanak bermain bersama kanak-kanak lain. Mereka saling lengkap melengkapi. Ada kerjasama dan tolak ansur. Minat sendiri dapat dijadikan minat kumpulan. Kurang campur tangan guru.
KEPENTINGAN BERMAIN DI PRASEKOLAH
Dalam bahagian ini, penulisan artikal hanya akan memberi penekanan terhadap pentingnya bermain di prasekolah mengikut aspek perkembangan yang tertentu sahaja. Terdapat banyak contoh untuk aktiviti bermain. Antara beberapa contoh aktiviti yang boleh dianggap sebagai main atau bermain adalah main drama, menyanyi, berlakon dan bercerita dan lain-lain contoh yang boleh dikategorikan di bawah definisi main. Drama yang digunapakai sebagai salah satu aktiviti di prasekolah boleh membina konsep kendiri yang positif kepada kanak-kanak dan memberikan kepada mereka pengalaman bahawa terdapat jawapan yang betul atau salah seperti kata McCaslin (2000).
“Drama builds positive self-concepts in children as they participate in experiences
that have no right or wrong answers”
Drama juga dapat menilai dan menghormati identiti tersendiri kanak-kanak dan ekspresi kreatif mereka. Disamping itu drama kreatif juga dapat menawarkan pembelajaran secara kerjasama dan berpasukan melalui perkongsian pengalaman (Heller,1996).
Verriour (1994) pula menyatakan drama membolehkan kanak-kanak menghasilkan situasi abstrak yang bermakna. Selari dengan penemuan mengenai drama sebagai salah satu aktiviti bermain yang banyak meninggalkan kesan positif, input aktiviti ini di dalam Kurikulum Prasekolah di bawah Komponen Kreativiti dan Estetika menunjukkan bermain bukan sesuatu yang tidak penting. Bukan juga sesuatu yang wujud untuk tujuan komersial. Malah merupakan satu aktiviti yang banyak memerlukan penglibatan aktif sehingga boleh dinyatakan idea serta ekspresi diri serta berupaya menggalakkan perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor disamping memupuk nilai estetika.
Selain dari drama, berlakon merupakan salah satu lagi aktiviti bermain yang lazim dipraktikkan oleh guru di tadika. Sebagai contoh kanak-kanak berlakon dan berimaginasi bermain masak-masak seperti situasi yang sebenar dan dalam situasi sebegini, mengikut Wilhelm & Edminston (1998)
In creative drama, children act “as if” their imagined world were an actual world and
represent familiar feelings, thoughts, and actions for themselves rather than memorizing a script for an audience.
Terdapat banyak kajian terkini ke atas pentingnya bermain di kalangan kanak-kanak tadika atau prasekolah ( Jensen,2000 ,2001; Shore, 1997; Christie, 2001; Frost, Wortham, & 2001). Kajian mereka menyatakan “play is a scaffold for development, a vehicle for increasing neural structures, and a means by which all children practice skills they will need in later life.”
Banyak lagi kepentingan main dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak yang berlaku secara langsung dan tidak langsung. Bahagian berikut ini akan menerangkan pentingnya bermain mengikut yang lebih spesifik berdasarkan perkembangan yang tertentu.
1) Bermain untuk Perkembangan fizikal.
Permainan biasanya melibatkan aktiviti fizikal yang berhubung rapat dengan perkembangan kanak-kanak dari aspek motor kasar dan motor halus serta kesedaran tentang badan mereka. Kanak-kanak berasa seronok dan gembira sewaktu aktif menggunakan bahagian-bahagian anggota badan mereka untuk bersenam. Ini membolehkan kanak-kanak meningkatkan kemahiran yang membolehkan mereka berasa lebih selamat, lebih yakin, dan boleh berdikari. Dalam masyarakat di mana kanak-kanak menghadapi tekanan, keyakinan dan sikap bersaing untuk berjaya dalam segala bidang amat diperlukan (Berk, 1995; Fromberg, 2002; Holmes & Geiger, 2002; Mccune& Zanes,2001: Murata & Maeda, 2002; Santrock, 2003).
2) Bermain untuk Perkembangan Sosial dan Emosi
Dalam kehidupan sosial kanak-kanak, bermain adalah pencetus kepada pembentukan perkembangan serta kemahiran sosial dan emosi kanak. Sebagai contoh kanak-kanak dari pelbagai umur perlu bersosialisasi, sebagai peyumbang dalam kebudayaan masing-masing. Kajian (Rubin & Howe 1986; Creasey, Jarvis, & Berk, 1998) menunjukkan bahawa bermain dengan individu lain memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menyesuaikan perlakuan mereka dengan orang lain dan memberikan pendapat mereka sendiri. Main dikatakan dapat memberi kanak-kanak pengalaman yang kaya untuk meningkatkan kemahiran bersosial, mempunyai sensitiviti nilai dan keperluan orang lain, mengawal emosi, belajar mengawal diri sendiri dan juga boleh berkongsi kuasa.
3) Bermain untuk Perkembangan Kognitif
Kajian telah menunjukkan perhubungan yang positif antara main dan pembelajaran kanak-kanak ( Kumar & Harizuka,1998: Lieberman, 1977) Mereka telah mengenalpasti kemajuan dalam penumpuan, kemahiran kesediaan, dan sikap ( McCune & Zanes, 2001: Smilansky & Shefatya, 1990); kreativiri dan pemikiran divergent (Dansky, 1980 ; Holmes & Geiger, 2002); pengambilan perspektif (perspective-taking) ( Burns & Brainerd,1979); memori ( Jensen, 1999, 2000; Gardner,1993). Jelas menunjukkan bahawa proses pembelajaran yang melibatkan operasi mental mengikut teori pembelajaran kognitif seperti Gagne, Ausubel dan Bruner ada kepentingannya di dalam aktiviti bermain.
Terdapat banyak lagi kepentingan main contohnya dalam perkembangan bahasa. Apapun jika main setakat untuk digunakan sebagai alat bermain dan bukan alat pembelajaran tidak akan meninggalkan kesan positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak. Guru harus memainkan peranan yang penting dalam memberi panduan yang sepatutnya agar melalui bermain boleh menghasilkan pembelajaran optima kepada kanak-kanak.
Peranan Guru Dalam Menggalakkan Main
Morison ( 1995 ) menegaskan bahawa dalam menjayakan sesuatu permainan di pusat-pusat persekolahan, guru memainkan peranan yang penting untuk mencipta persekitaran dan juga merangsang serta memperkembangkan daya berfikir kanak-kanak. Menurut Joan Packer Isenberg dan Mary Renck Jalongo (2003), sebagai langkah awal, untuk memastikan aktiviti bermain dapat digunakan dengan lebih berkesan, guru-guru perlu menyediakan diri terhadap realiti dalam pengajaran seperti :
i) Menyedari bahawa guru prasekolah akan dikelilingi oleh budaya yang pelbagai dan kemahuan-kemahuan dari pelbagai kumpulan kanak-kanak.
ii)Menyedari bahawa mengurus bilik darjah akan memerlukan keupayaan untuk melakukan pelbagai perkara serentak, membuat beribu keputusan serta merta setiap hari dan berupaya menyesuaikan diri secepatnya dan menjadi fleksible kepada perubahan.
iii) Memahami bahawa mereka terpaksa meringkaskan pengalaman yang tidak langsung dan menjadikan ianya berguna dan bermakna serta menyeronokkan kepada kanak-kanak terutama kanak-kanak yang mempunyai latar belakang pendidikan yang agak kurang baik dan juga tidak dapat memenuhi keperluan asas mereka.
iv) Mengetahui bahawa guru akan memasuki satu profesion yang kadang-kala mempengaruhi emosi dalam bidang yang mencabar ini terutama dalam hubungan interpersonal. Mereka mungkin merasa cepat letih terutama dari segi minda terhadap pelbagai program yang direncana dan dilaksanakan serentak.
v) Harus diingat bahawa guru yang terbaik adalah yang paling cepat belajar. Kecuali guru itu seorang yang ‘belajar sepanjang hayat’, di mana sentiasa mengambil berat terhadap kemajuan dan perkembangan profesionalisma dan menjadi seorang model pelajar yang mana kanak-kanak akan contohi dan keberkesanan ini lambat laun akan berkurangan.

PENDEKATAN-PENDEKATAN DI PRASEKOLAH



Dalam pendidikan prasekolah, pelbagai pendekatan yang bersesuaian dengan kebolehan, keupayaan dan minat perlu dirancang supaya murid dapat dilibatkan secara aktif dalam pembelajaran dan mereka mendapati bahawa pembelajaran itu adalah sesuatu yang bermakna, berkesan dan menyeronokkan. Oleh itu Pusat Perkembangan Kurikulum (2003,ms 260) mengesyorkan empat pendekatan pengajaran berasaskan konsep dan prinsip bagi pendidikan prasekolah iaitu :
i. Pendekatan Belajar Melalui Bermain
ii. Pendekatan Bertema
iii. Pendekatan Bersepadu
iv. Penggunaan ICT Dalam Pembelajaran
            Walau bagaimanapun semasa menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, adalah digalakkan keempat-empat pendekatan ini disepadukan. Terdapat juga pendekatan-pendekatan yang lain digunakan semasa sesi pengajaran di prasekolah, iaitu :
i. Pendekatan projek
ii. Pendekatan tunggal
iii. Pendekatan Unit
iv. Pendekatan inkuiri arahan guru

KEMAHIRAN BERBAHASA - KEMAHIRAN MENULIS.


 

Definisi Menulis
Secara umumnya, menulis merupakan perlakuan menggunakan pen, pensel atau sebarang alat tulis bagi menulis atau menaip sebarang idea mahupun pernyataan. Namun begitu, definisi ini begitu umum dan bersifat mekanikal.
Definisi menulis menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (muka surat 1729), ialah mencatat kata-kata dengan huruf dan memakai pena seperti kalam,kapur , pensel dan lain-lain. Di samping itu, menulis juga bermaksud melahirkan perasaan (fikiran dan lain-lain) dengan catatan yang memakai huruf, membuat surat atau mengarang.
Menurut Paul Jennings pula dalam The Reading Bug, “Menulis adalah keperluan peribadi bukan kerana tugas di dalamnya tetapi ada kesenangan dan ada manfaat untuk kehidupan sehari-hari. Ada nilai yang tak ternilai dalam kegiatan ini.”
Sebenarnya, menulis bermaksud kegiatan simbol-simbol grafik yang disusun atur berdasarkan pertuturan yang membentuk perkataan seterusnya disusun menjadi ayat-ayat. Tulisan pula merupakan bahasa yang bertulis dengan lambang-lambang bunyi di samping sebagai alat untuk melahirkan fikiran dan perasaan.
Konsep Menulis.
Konsep menulis secara khusus dikaitkan dengan proses penyaluran ilmu, idea atau maklumat secara bersistem yang mengambil kira aspek tujuan menulis, penggunaan bahasa, audiens dan gaya penulisan supaya dapat menggambarkan keadaan, alam dan kehidupan secara lebih menyeluruh.
Oleh yang demikian, kemahiran menulis bukan suatu yang bersifat tetap tetapi mampu membantu ke arah pemahaman pemikiran terhadap proses penulisan terutama dalam suasana pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah contohnya keupayaan murid menulis perkataan dan ayat serta mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, peranan tulisan sangat penting kerana tulisan bertindak sebagai alat bagi menurunkan segala isi pelajaran dan mempamerkan buah fikiran seseorang. Tulisan berhubung rapat dengan membaca di mana kedua-duanya mementingkan teknik dan akal. Membaca tidak mungkin ada kalau tidak ada tulisan begitu juga sebaliknya.
Di sekolah-sekolah, pelajaran menulis dan membaca bukanlah sesuatu yang terpisah sifatnya malah seharusnya dijalankan serentak atau dalam masa selari. Walaupun pada dasarnya membaca seharusnya mendahului tulisan tetapi kadangkala kanak- kanak telah pandai menulis ketika masuk sekolah. Ini tidaklah merisaukan kerana sewaktu mereka menulis mereka juga membaca.
Fungsi-fungsi Kemahiran Menulis.
Ann Raimes (1983 : 3) telah mengemukakan tiga fungsi kemahiran menulis melalui bukunya Techniques In Teaching Writing, iaitu :
1. Merangsang dan memahirkan tatabahasa, idea, perbendaharaan kata dan perasaan.
2. Memberi peluang kepada pelajar untuk menerokai bidang bahasa.
3. Memperluaskan pengatahuan, melahirkan idea, dan mnggunakan seluruh anggota mekanis (mata, tangan, akal dan lain-lain) untuk merangsang pembelajaran.
Tujuan Menulis.
Walau bagaimanapun, fungsi kemahiran menulis akan lebih jelas peranannya, apabila fungsi itu dilihat melalui tujuan yang berikut :
1.    Tujuan Serta-merta
a) Membina asas menulis yang kukuh untuk membolehkan kanak-kanak menulis dengan baik, cekap dan pantas.
b) Membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan dengan pantas dan menyusun ayat-ayat dengan betul dan boleh difahami oleh pembaca.
c) Membolehkan kanak-kanak mengulangi pelajarannya dengan cara membaca tulisan-tulisan yang tercatat atau membaca buku-buku luar untuk menambahkan isi bacaannya.
d) Membolehkan kanak-kanak melahirkan fikiran dan perasaan dengan sempurna dalam bentuk tulisan.
e) Menyuburkan minat suka menulis atau mengarang dalam kalangan kanak-kanak.
f) Menambah dan meluaskan pengetahuan kanak-kanak dalam perbendaharaan kata, perkembangan bahasa dan tulisan.
g) Menyediakan kanak-kanak unuk menghadapi peperiksaan.
2.    Tujuan Lanjut
h) Meluaskan pengetahuan pengalaman, perhubungan, dan matlamat menerusi penulisan.
i) Memberikan kepuasan jiwa dalam pemikiran, pengalaman, dan perasaan.
j) Menyediakan mereka dengan pengetahuan supaya dapat memenuhi kehendak dan hasrat masyarakat moden, khususnya bagi kepentingan sendiri dan orang ramai umumnya.
Menurut Down Bryne (1979) pula, kemahiran menulis amat penting untuk dipelajari kerana beberapa tujuan iaitu :
i. Terdapat perbezaan kecenderungan individu atau pelajar yang menguasai kemahiran belajar.
ii. Bagi memenuhi keperluan psikologi pelajar.
iii. Dapat menyediakan pelbagai aktiviti dalam bilik darjah dan ia dapat mengelakkan rasa jemu dan bosan pelajar.
iv. Aktiviti secara formal dan tidak formal dapat dijalankan secara serentak dalam bilik darjah.
Namun, terdapat beberapa tujuan menulis secara yang diterangkan secara umum iaitu :
a.    Memberi Respons.
Menulis bertujuan untuk memberikan reaksi terhadap suatu perkara dengan menggunakan bahasa sebagai perantara. Apabila menulis, penulis sering berasakan dirinya dalam situasi terasing seperti perlakuan penulis dengan helaian kertas yang digunakan semasa menulis. Keadaan tersebut menggambarkan penulis melakukan tingkah laku sosial bagi memberikan respons kepada orang lain atau memaparkan persekitaran dan pengalaman yang dilaluinya.
Hal ini disebabkan oleh aktiviti menulis sering dilaksanakan dalam situasi dan konteks yang spesifik contohnya penulis menggambarkan keindahan alam atau perwatakan manusia.
Di samping itu, penulisan adalah proses menyampaikan buah fikiran, idea, atau pendapat dengan tepat dan berkesan kepada khalayak atau pembaca dengan menggunakan bentu grafik. Bentuk grafik tersebut disusun sehingga melambangkan bunyi bahasa yang dapat dibaca dan difahami maksudnya .
b.    Komunikasi.
Proses komunikasi sememangnya memerlukan hubungan dua hala antara penulis dengan pembaca. Dalam hal ini, penulis akan menulis berita, memo, iklan atau kenyataan untuk dikongsikan bersama pembaca dengan berharap agar pembaca dapat memahami mesej yang disampaikan. Mesej tersebut dapat menimbulkan pelbagai reaksi.
Komunikasi sehala yang wujud dapat membantu melahirkan idea konstruktif dalam kalangan penulis. Keadaan ini akan menimbulkan suasana perlunya saling memahami antara kedua belah pihak iaitu penulis dan pembaca, selepas masing-masing mentafsirkan tulisan yang ditulis dan dibaca dengan rasional.
c.    Ekspresi Kendiri.
Penulisan berbentuk naratif mahupun bukan naratif sebenarnya memberi peluang kepada penulis menyatakan idea, harapan, falsafah hidup atau gambaran imaginasi dalaman yang dapat memberikannya kepuasan serta menimbulkan pelbagai bentuk reaksi daripada pembaca.
Dari segi pernyataan personaliti, penulisan yang dihasilkan oleh pelajar sering dapat ditafsirkan oleh guru bagi menggambarkan personalti pelajarnya.
d.    Sifat Sejagat.
Dalam penulisan, sifat umum dapat dilihat melalui prosedur penulisan tersebut manakala kesejagatan pula daripada segi bahan yang ditulis. Sifat umum dalam penulisan juga digambarkan dari segi kepentingan menggunakan bahasa yang baik untuk memudahkan pembaca memahami mesej yang disampaikan.
Dalam penulisan berita umpamanya, mempunyai mesej yang sama yang dapat ditulis dalam gaya yang berlainan. Penulisan berbentuk fiksyen juga begitu, pengolahan cerita biasanya mempunyai sifat yang sejagat sama ada penghuraian plot, perkembangan watak mahupun peleraian konflik.
e.    Mengikut Peraturan.
Peraturan yang telah ditetapkan dalam proses menulis adalah bertujuan untuk mengawal penulis supaya dapat menyampaikan mesej dengan lebih tepat dan memberi makna kepada pembaca.
Selain itu, peraturan juga dapat menjamin penulisan tidak bersifat bebas sehingga boleh mengakibatkan salah faham terhadap maklumat yang disalurkan melalui tulisan. Keberkesanan peraturan tersebut jelas terdapat dalam penulisan berformat serta penulisan kreatif. Peraturan dan prosedur penulisan adalah penting supaya hasil tulisan itu dapat dipertanggungjawabkan.
f.     Proses Pembelajaran.
Dalam konteks pendidikan, kemahiran menulis juga amat penting bagi pelajar untuk dikuasai menerusi pembelajaran secara formal. Kemahiran tersebut memerlukan penulisnya menguasai kaedah yang begitu berkesan supaya penyampaian maklumat dapat disampaikan tanpa sebarang halangan komunikasi.
Oleh yang demikian, proses memberikan kefahaman kepada pembaca menjadi lebih baik apabila penulis menunjukkan penguasaan yang mendalam dalam bidang penulisan secara lebih sistematik.
Jenis-jenis Kemahiran Menulis.
Terdapat dua jenis kemahiran yang perlu dikuasai dalam menyampaikan pengajaran kemahiran menulis iaitu kemahiran menulis secara mekanis dan kemahiran menulis untuk pelahiran (mental).
Kemahiran Menulis Secara Mekanis
Kemahiran menulis secara mekanis merupakan kemahiran menulis secara peringkat awal yang perlu dikuasai agar para pelajar dapat menghasilkan tulisan yang kemas dan mudah dibaca.
Aktiviti-aktiviti tulisan seperti membuat corak, menekap dan membentuk huruf adalah penting untuk memberi latihan dan pengalaman asas agar pelajar-pelajar dapat menguasai kemahiran selanjutnya seperti menulis suku kata, rangkai kata dan sebagainya.
Kebolehan menulis dalam kalangan kanak-kanak timbul daripada keinginan mereka untuk menyatakan sesuatu melalui perantaraan tulisan. Sebelum mereka dapat berbuat demikian dengan cara yang dapat difahami oleh orang lain, mereka perlu menguasai mekanik tulisan itu dahulu. Keinginan tersebut haruslah digunakan sebagai pemangkin semangat untuk belajar menulis.
Kematangan urat saraf dan urat daging adalah diperlukan bagi mengawal jari dan tangan, seterusnya kematangan tersebut perlu untuk penyelarasan antara mata dan tangan. Contengan merupakan asas bagi kebolehan menulis kerana semasa kanak-kanak mempelajari fungsi lambang huruf (tulisan) sebagai mewakili bunyi suara (bahasa), mereka dapat membezakan bentuk-bentuk huruf yang digunakan dalam bacaan. Kemudian, daripada latihan contengan tersebut mereka dapat meniru huruf yang dilihat dalam bacaan mereka.
Aktiviti-aktiviti mekanikal yang perlu ditekankan supaya lebih mahir dalam kemahiran menulis adalah seperti :
a) Latihan pergerakan tangan, otot, jari dan membentuk garisan-garisan, bulatan, segi-segi dan sebagainya.
b) Tunjukkan cara pergerakan tangan, tulis di awangan, pasir, papan tulis dan sebagainya.
c) Bermain dengan benda-benda seperti plastisin dan susun blok mainan serta melatih menulis unsur-unsur huruf dan perkataan.
d) Melatih atau tunjukkan cara membentuk huruf, menulis perkataan dan ayat.
e) Mengawasi tulisan murid tentang bentuk, saiz, jarak, kekemasan dan lain-lain.
f) Melatih menulis cepat, jelas dan senang dibaca.
g) Melatih menulis cantik dan kemas.
Kemahiran Menulis Secara Mentalis (Pelahiran).
Kemahiran menulis untuk pelahiran selalunya dikuasai oleh murid-murid setelah mereka mendapat kemahiran mekanis. Kemahiran ini banyak melibatkan mental. Aktiviti-aktiviti yang patut dijalankan untuk mendapatkan kemahiran menulis untuk pelahiran adalah seperti berikut :
a) Latihan pernyataan fikiran atau pendapat.
b) Latihan pernyataan perasaan.
c) Latihan pernyataan kehendak.
d) Latihan mengeluarkan pendapat-pendapat yang tulen dan asli lahir dari pemikiran sendiri.
Peringkat-peringkat Kemahiran Menulis.
Kemahiran menulis sememangnya perlu diajar kepada kanak-kanak mengikut peringkat-peringkat tertentu supaya proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih efektif iaitu :
1.    Peringkat Pramenulis (Persediaan)
Peringkat pramenulis ialah tempoh masa murid-murid disediakan dengan aktiviti-aktiviti menulis sebelum mereka dapat menulis huruf-huruf dengan kemas dan betul. Ketika tempoh ini, latihan otot-otot, tangan, dan jari serta koordinasi tangan dan mata diber pendedahan kepada murid-murid sejak dari awal lagi.
Berdasarkan kajian Wilma dan Davidebbitt (1978), konsep peringkat pramenulis adalah berdasarkan aspek berikut :
i. Melampiaskan otak isi atau idea sesuatu tajuk.
ii. Perbincangan.
iii. Membuat pembacaan dan rujukan.
iv. Membuat rangka dasar.
v. Mencari pendekatan yang sesuai.
Bagi membolehkan murid-murid menguasai kemahiran membentuk lambang-lambang yang kemas dan jelas, pelajaran tulisan yang dirancangkan mestilah sistematik, bertitik-tolak daripada aktiviti-aktiviti pramenulis yang berbentuk bebas.
Latihan-latihan pramenulis menitikberatkan perkara-perkara berikut :
a) Melakukan latihan-latihan pergerakan tangan.
b) Menguasai gerak tangan yang bebas supaya boleh menulis dengan selesa dan sempurna.
c) Melakukan latihan-latihan pergerakan mata.
d) Melakukan latihan-latihan koordinasi tangan dan mata.
Aktiviti-aktiviti Latihan Pramenulis :

a. Latihan mengikut garisan-garisan rajah atau gambar dari kiri ke kanan. Ini adalah latihan menulis dari kiri ke kanan.

---------- ---------- ---------- ---------- ---------- ---------- ----------
b. Latihan mewarnakan dari kiri ke kanan atau dari kanan ke kiri.
c.Latihan membentuk bulatan di udara, meja, lantai, atas pasir dan rumput tanpa menggunakan alat tulis. (bulatan besar – bulatan kecil).
d. Latihan-latihan gerak jari dengan mempermain-mainkan jari, menekan-nekankan jari, menggoyangkan tangan, meramas-ramas jari dan sebagainya.
e. Latihan-latihan membentuk garisan lurus.
f. Latihan membentuk corak-corak campuran bulatan dan garisan lurus. Dilakukan secara bebas
g. Latihan melukis gambar-gambar yang mengandungi garisan-garisan lurus dan bulat.
2.    Peringkat Asas Menulis (Mekanis).
Selepas murid-murid menjalankan latihan pramenulis, faham dan tahu memegang pensel serta boleh duduk dengan cara yang betul, seterusnya mereka boleh dilatih membentuk lambang-lambang tulisan.
Peringkat ini dijalankan secara serentak dengan pengajaran bacaan murid-murid. Mereka diperkenalkan dengan lambang-lambang huruf yang bersesuaian dengan gambar dan seterusnya menulis ayat pendek. Semasa menulis, pelajar digalakkan menyebut huruf dan membaca perkataan tersebut.
Pada peringkat awal, dicadangkan agar murid-murid membentuk huruf di atas kertas kosong yang tidak mempunyai sebarang garisan. Setelah didapati memuaskan, barulah mereka dilatih membentuk huruf pada halaman yang bergaris. Apabila murid mula membentuk huruf-huruf pada kertas bergaris, kawalan tulisan perlu dilakukan yang harus bermula daripada garisan yang lebar hingga kepada lembaran satu garis.
Berikut adalah latihan menulis terkawal dari mula hingga ke lembaran satu garis itu :
i. Latihan membentuk bulatan dan garis lurus dalam keadaan yang terkawal.
ii. Latihan menulis huruf di atas kertas bergaris dua.
___________________________________________
___________________________________________
___________________________________________
___________________________________________
iii. Latihan menulis huruf di atas kertas bergaris satu.
___________________________________________
___________________________________________
iv. Latihan membentuk lambang tulisan dengan cara yang betul untuk mendapatkan keseragaman cara menulis bagi menghasilkan tulisan yang seragam dan mudah dibaca.
___________________________________________
___________________________________________
___________________________________________
Semasa menyampaikan kemahiran-kemahiran yang telah dinyatakan di atas, guru haruslah memberi perhatian terhadap beberapa perkara iaitu :
i. Kanak-kanak harus diperkenalkan kepada lambang-lambang huruf-huruf dengan menggunakan gambar.
ii. Sebelum dilatih menulis, baik juga diberi latihan bebas untuk membetulkan urat-urat daging kanak-kanak.
iii. Kanak-kanak menulis dengan mengeja dan menyebut nama-nama huruf.
iv. Menggunakan kertas, mula-mula tidak bergaris kemudian barulah menggunakan buku yang bergaris.
v. Setelah kanak-kanak dapat menggunakan alat-alat dengan baik, seterusnya mereka boleh dilatih menggunakan buku dan alat-alat lain yang sesuai.
Aktiviti-aktiviti yang perlu ditekankan dalam melatih murid-murid semasa peringkat asas menulis adalah seperti :
a. Menekap huruf mengikut urutan yang ditetapkan.
b. Menulis huruf mengikut urutan yang ditetapkan.
c. Memadan dan menyalin dua suku kata supaya menjadi perkataan yang bermakna.
d. Menulis huruf yang tertinggal dalam ruang atau petak yang dikosongkan.
e. Menyalin ayat-ayat mudah dan sebagainya.
3.    Peringkat Menulis untuk Pelahiran.
Setelah peringkat asas menulis telah dikuasai oleh murid-murid, mereka seharusnya digalakkan melahirkan fikiran mereka secara bertulis. Kaedah-kaedah yang dicadangkan adalah bermula daripada yang terkawal iaitu berpandukan gambar-gambar dan perkataan, megisi tempat kosong, melengkapkan ayat-ayat dan perenggan sehingga murid-murid itu boleh menghasilkan tulisan tanpa panduan.
Contoh-contoh aktiviti yang sesuai dijalankan adalah seperti berikut :
i. Mengisi silang kata.
ii. Mengisi tempat kosong dalam ayat.
iii. Melengkapkan ayat dengan menambahkan rangkai kata yang sesuai.
iv. Menuliskan ayat yang lengkap dengan perkataan yang diberi.
v. Memanjangkan ayat dengan menambahkan rangkai kata yang sesuai.
vi. Membentuk ayat-ayat bagi menyudahkan cerita.
vii. Menulis ayat-ayat berdasarkan gambar yang disediakan.
viii. Menulis jawapan-jawapan kefahaman.
ix. Menulis rencana daripada bahan yang diperlihatkan.
x. Menulis karangan daripada tajuk yang disediakan dan sebagainya. (rujuk sukatan pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah di bahagian lampiran).
Kesalahan Biasa Dalam Penulisan.
Pada peringkat awal murid-murid mempelajari kemahiran menulis, biasanya tidak sempurna dan sering berlaku kesilapan. Namun begitu, kesilapan-kesilapan tersebut boleh diperbaiki dari semasa ke semasa dengan memperbanyakkan latihan menulis serta memberi galakan.
Kesalahan-kesalahan biasa dalam penulisan yang sering kali terjadi adalah dari segi bentuk huruf yang buruk, tidak sama besar atau kecil. Selain itu, jarak huruf atau perkataan yang tidak seimbang, begitu juga dengan kedudukan yang tegak dan condong. Di samping itu, rupa tulisan juga kadang kala kotor disebabkan oleh kerap membetulkan kesilapan menggunakan getah pemadam.
Namun begitu, seperti yang telah dinyatakan di atas, masalah ini mampu diatasi dengan beberapa cara yang memerlukan bimbingan daripada guru iaitu :
i. Beri latihan secukupnya pada peringkat permulaan dan peringkat mendirikan asas.
ii. Berilah penerangan dan contoh-contoh yang betul dan sesuai supaya dapat diikuti oleh kanak-kanak dengan mudah.
iii. Apa yang ditulis oleh guru sama ada sebagai contoh untuk disalin oleh murid atau sebagainya hendaklah dibuat dengan baik dan betul.
iv. Sediakan kad-kad tulisan untuk melatih kanak-kanak menulis dengan sempurna.
v. Jangan galakkan mereka menggunakan getah pemadam terlalu kerap kerana boleh mengotorkan tulisan.
vi. Banyakkan latihan dan berikan bantuan perseorangan.
vii. Dari segi kedudukan menulis dan cara menulis :
a) Tunjukkan gaya duduk, cara memegang alat tulis, letak buku dan lain-lain dengan betul.
b) Kedudukan bangku, meja, kerusi dan sebagainya biarlah memberi keselesaan.
c) Pada masa menulis, biarlah kedua-dua tangan terletak di atas meja dan tangan kiri menyokong badan.
d) Jarak mata dengan buku adalah lebih kurang antara 8 hingga 10 inci.
e) Jangan memegang pen atau pensel terlalu kuat.
f) Pen atau pensel mestilah dipegang dengan jari telunjuk, ibu jari dan jari hantu.
g) Jangan duduk membongkok ketika menulis.
Jenis-jenis Penulisan.
1.    Terkawal dan Separa Terkawal.
Penulisan peringkat terkawal merupakan penulisan peringkat asas atau pertama yang harus dilalui oleh murid-murid dalam gerak kerja penulisan. Penulisan terkawal ialah segala isi dan bahasanya sedia terkawal oleh guru. (Salleh Akib, (1975:135).
Susunan penulisan ini dkawal ketat dan sedikit-sedikit dipimpin ke arah penulisan bebas. Tujuan penulisan terkawal ini adalah untuk mengurangkan kesilapan berlaku dalam kalangan murid-murid. Kelancaran dalam penggunaan bahasa dan membolehkan murid-murid mengeluarkan fikiran mereka tanpa diganggu oleh soal bahasa.
Pada peringkat ini latihan penulisan yang diberi, dikawal sepenuhnya agar murid-murid tidak melakukan kesilapan. Pengawalan dilakukan terhadap murid-murid yang seratus-peratus baru sahaja mula belajar mengarang atau didapati lemah dalam mengarang. Selalunya, mereka menyalin apa sahaja yang ditulis oleh guru di papan hitam. Latihan-latihan haruslah terdiri daripada perenggan yang pendek-pendek yang bertujuan sebagai lathan mekanikal semata-mata.
Walau bagaimanapun, guru masih boleh memasukkan variasi dan perhidangan dalam latihan yang diberi pada peringkat tersebut iaitu peringkat menyalin dan menghasilkan semula. Meraka misalnya, boleh diberi latihan menyalin ayat-ayat daripada rajah tukar ganti yang mudah. Walaupun latihan tersebut adalah menyalin, mereka diarahkan memilih satu item yang mereka suka daripada rajah tukar ganti tersebut. Pada peringkat ini, item yang mereka pilih itu adalah yang berhubung dengan leksikal, sedangkan struktur ayat adalah tepat dan sama.
Peringkat penulisan terkawal adalah amat penting yang bertujuan untuk :
i. Cara ini dapat mengurangkan kesilapan yang dibuat oleh kanak-kanak.
ii. Menjadi asas kepada penulisan bebas. Murid-murid dipimpin dan dilatih sedikit demi sedikit kea rah penulisan bebas yang menitikberatkan soal-soal isi dan bahasa.
iii. Supaya murid-murid dapat menggunakan bahasa dengan lancar dan mengeluarkan isi pemikirannya dengan tidak diganggu oleh kesulitan-kesulitan berbahasa.
Pelbagai bentuk latihan yang boleh dilaksanakan kepada murid-murid berhubung dengan penulisan terkawal iaitu :
i. Menjawab soalan-soalan yang telah disediakan terlebih dahulu yang berkaitan dengan sesuatu tajuk.
ii. Menulis semula cerita yang dibaca, didengar atau diperdengarkan.
iii. Menulis surat. Isi surat tersebut ditetapkan oleh guru supaya menyenangkan murid-murid menulisnya.
iv. Mengisi tempat-tempat kosong dalam sebuah cerita atau karangan yang telah disediakan.
v. Menulis isi perbualan atau perbincangan yang berhubung dengan sesuatu tajuk, kejadian, peristiwa atau sebagainya.
vi. Menulis ayat atau cerita daripada gambar-gambar yang disediakan.
vii. Membuat ayat-ayat secara lisan atau tulisan daripada perkataan-perkataan yang diberi.
Seterusnya, pada peringkat separa terkawal pula murid-murid masih diberikan kawalan walaupun tidak sepenuhnya. Mereka diberi peluang untuk menggunakan sedikit daya pemikiran untuk memilih perkataan dan disesuaikan dengan pengajaran guru. Contohnya, guru akan membacakan sebuah karangan pendek yang sedia ditulis di papan hitam dan kemudian murid-murid diminta menggantikan beberapa perkataan yang telah dipadam dengan perkataan-perkataaan lain yang disediakan. Latihan tersebut mungkin menimbulkan sedikit kesukaran dan murid-murid boleh melakukan kesalahan.
2.    Berpandu.
Jenis penulisan berpandu pula ialah jenis penulisan yang diberi kawalan atau panduan ketika hendak membuat karangan. Pada peringkat ini, kemungkinan murid-murid akan melakukan kesalahan-kesalahan yang lebih besar tetapi ada kekecualian bagi mereka yang telah menerima latihan-latihan yang banyak dan dapat memahami sepenuhnya cara tersebut pada peringkat karangan terkawal dan separa terkawal.
Sebagai contoh, guru membaca sebuah karangan yang sudah disediakan. Kemudian murid-murid diminta menuliskan semula perenggan-perenggan tersebut berdasarkan garis panduan atau arahan yang diberi oleh guru. Pada peringkat ini guru masih memberi bimbingan kepada murid-murid.
3.    Separa Berpandu.
Penulisan separa berpandu pula merupakan jenis penulisan yang tidak dikawal sepenuhnya. Walau pun diberi garis panduan tertentu, namun murid-murid diberi sedikit kebebasan untuk membuat karangan. Oleh yang demikian, kemungkinan peratusan kecil sahaja yang akan berlaku. Melalui cara ini mereka dapat meluahkan isi fikiran biarpun terdapat sedikit kawalan, namun sekurang-kurangnya kawalan tersebut dapat memberi cetusan idea.
4.    Bebas.
Penulisan bebas adalah penulisan yang hanya dapat dijalankan setelah murid-murid sudah mula boleh menguasai bahasa yang diajar itu dengan baik. Pada peringkat ini, mereka diberi tajuk-tajuk umum dan diminta untuk terus menumpukan perhatian kepada apa yang hendak ditulis dan bukan lagi bagaimana hendak menulisnya.
Oleh sebab murid-murid ini telah mempunyai kemahiran tatabahasa dan kemahiran mekanikal yang mencukupi, guru hanya perlu menumpukan kepada isi dan kesilapan-kesilapan yang dilakukan. Perkara penting yang diingatkan di sini adalah mengajar penulisan yang berbentuk bebas seharusnya dilewatkan oleh guru supaya murid-murid terlebih dahulu dapat menguasai perkara-perkara asas seperti penguasaan perbendaharaan kata (pemilihan perkataan) dan sruktur ayat bahasa tersebut.
Pada peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat sekolah menengah, jenis penulisan sebegini diperluaskan lagi kepada beberapa bentuk yang dibahagikan kepada lima bahagian iaitu penulisan berbentuk naratif, deskriptif, imaginatif, kreatif dan argumentatif.
Penulisan bentuk naratif meliputi jenis-jenis cerita, berita, laporan, rencana dan ulasan. Penulisan jenis deskriptif pula merangkumi gambar suasana, peristiwa, benda dan perwatakan. Penulisan jenis imaginatif berkait rapat dengan pengalaman sementara yang berbentuk argumentatif pula terlibat dengan perbincangan, kritik dan perbahasan. Penulisan berbentuk kreatif meliputi puisi, cerpen, drama dan sebagainya yang merupakan ekspresi dan perasaan serta pengalaman seseorang melalui tulisan atau perkataan.
Kecekapan Berbahasa bagi Kemahiran Menulis
Dalam kemahiran menulis, pelajar harus berupaya menghasilkan pelbagai penulisan dengan tepat dan jelas tentang perasaan, pengalaman diri, dan ilmu pengetahuan yang ingin disampaikan. penekanan harus diberi pada penggunaan ayat yang gramatis, tanda baca, dan ejaan yang betul. Pelajar juga digalakkan menghasilkan karya yang kreatif berdasarkan pemikiran yang kritis dan analitis. Kecekapan berbahasa bagi kemahiran menulis adalah seperti berikut:
a. Pelajar dapat melahirkan secara bertulis fikirannya, perasaan dan pengalaman dengan jelas, tersusun, logik, dan menggunakan tatabahasa yang betul.
b. Mengembangkan daya cipta untuk menulis sesuatu yang kreatif atau kritis seperti cerpen, cerita imaginasi, pandangan, perbincangan, perbahasan, dan syarahan.
c. Menterjemahkan bahan prosa bahasa tertentu ke dalam bahasa Malaysia Baku dengan memelihara makna asalnya.
d. Menghasilkan rumusan daripada pelbagai bahan prosa.
e. Membolehkan pelajar berkomunikasi secara bertulis dalam urusan rasmi atau rakan sebaya untuk memenuhi pelbagai keperluan.
Prinsip-prinsip Kemahiran Menulis.
Kemahiran menulis seharusnya diajar dengan prinsip yang betul dan sesuai agar pengajaran untuk menguasai kemahiran tersebut lebih efektif. Prinsip-prinsip kemahiran menulis yang boleh dijadikan garis panduan melakukan latihan menulis adalah seperi berikut :
i. Latihan imlak mestilah diberi penegasan wajar kerana ia memberi latihan bertulis yang berguna kepada pelajar dengan memerlukan mereka menyalin dengan tepat sesuatu yang telah dibaca oleh guru.
ii. Latihan yang mencukupi perlu dijalankan untuk membolehkan pelajar membuat ayat-ayat yang betul untuk melahirkan fikiran dan perasaan tertentu.
iii. Pelajar mesti diberi latihan yang memadai untuk menulis perenggan yang terdiri daripada urutan ayat yang teratur dan logik.
iv. Penulisan karangan pada peringkat awal (menengah rendah) mestilah bersifat terpimpin atau terkawal dalam erti kata guru memberi bantuan dari segi perbendaharaan kata dan/atau kandungan.
v. Guru mestilah menitikberatkan kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar termasuk kesalahan ejaan, tanda bacaan dan imbuhan.
vi. Untuk membolehkan pelajar mengenal hasil penulisan yang bermutu tinggi, guru patutlah mendedahkan mereka kepada karya penulisan yang baik daripada pelbagai sumber termasuk bahan yang ditulis oleh rakan sebaya.
Cara untuk Meningkatkan Kemahiran Menulis
Peranan guru amat penting dalam membimbing murid-murid untuk menguasai kemahiran menulis. Kegiatan pembelajaran yang sesuai dijalankan oleh guru untuk meningkatkan kemahiran menulis dalam kalangan pelajar :
b. Latihan imlak (dictation) di mana pelajar dikehendaki menyalin dengan betul ayat atau perenggan yang dipilih.
c. Latihan menyempurnakan ayat atau urutan ayat dengan perkataan/frasa yang paling sesuai dan tepat.
d. Latihan menyusun semula bahagian-bahagian ayat supaya menjadi ayat yang betul tatabahasanya.
e. Latihan mengatur semula sebilangan ayat supaya menjadi satu perengan yang tersusun dan logik.
f. Penulisan karangan bergambar sama ada berdasarkan sebuah gambar atau satu gambar bersiri.
g. Penulisan surat biasa kepada ahli keluarga dan sahabat.
h. Penulisan surat biasa kepada guru, jabatan kerajaan, dan syarikat untuk pelbagai tujuan.
i. Penulisan notis, ucapan, mesej, kad jemputan, dan sebagainya.
j. Latihan mengenal pasti dan membetulkan kesalahan (termasuk perbendaharaan kata, ejaan, tanda bacaan, imbuhan) dalam sebuah karangan.
k. Menulis rangka karangan yang tajuknya telah diberi.
l. Menulis karangan berformat (laporan, perbahasan, syarahan, ceramah, dan sebagainya) berdasarkan tugas yang diberi.
m. Menilai suatu karangan dari segi kekuatan dan kelemahannya.
n. Mengenal teknik-teknik untuk menghasilkan sebuah karangan yang baik termasuk teknik membuat pendahuluan, huraian dan kesimpulan.
o. Membuat rumusan daripada pelbagai bahan prosa.
p. Menterjemahkan petikan daripada bahasa tertentu ke bahasa Malaysia tanpa menjejaskan makna asalnya.