Terkini di WaJIP

Terkini di WaJIP

Info & Isu Terkini WaJIP

Sebarang info terkini mahupun isu-isu semasa akan dipaparkan disini untuk perkongsian bersama. Terima Kasih.

Tuesday 14 August 2012

KEMAHIRAN BERBAHASA - KEMAHIRAN BERTUTUR


Definisi Kemahiran Bertutur.
Kemahiran bertutur ialah kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat sebutan (artikulator) manusia. Kemahiran tersebut merupakan kemahiran berinteraksi menggunakan bahasa. Kemahiran bertutur berlaku pada peringkat pelahiran yang tidak boleh dicipta oleh pelajar, tetapi mesti ditiru dan diajuk. Model pertuturan yang lemah akan menghasilkan ajukan yang lemah. Sementara model yang baik belum tentu dapat menjamin ajukan yang baik. Namun begitu, model yang baik itu sangat diperlukan kerana model tersebut mungkin akan menghasilkan tindak balas yang baik juga.
Dalam ilmu linguistik, bahasa diungkapkan dengan sempurna melalui pertuturan. Hal ini demikian dalam bahasa tulisan, aspek sebutan seperti intonasi, rentak , tekanan, jeda dan persediaan tidak dapat digambarkan dengan jelas. Namun demikian, ini tidak bermakna guru bahasa mengajarkan penguasaan audio-lingual sahaja. Pernyataan di atas tadi member implikasi bahawa menghurai bahan bertulis dengan tidak mengetahui pola-pola bahasa seperti yang terdapat dalam pertuturan itu, sebenarnya tidak lengkap dan tidak sempurna sifatnya.
Konsep Bertutur.
Seperti yang telah diketahui, hubungan antara kemahiran bertutur dengan kemahiran mendengar adalah saling berkait rapat. Oleh itu, kemahiran bertutur melibatkan beberapa konsep iaitu :
a. Pertuturan merupakan gabungan bunyi-bunyi bahasa yang dilafazkan.
b. Pertuturan berlaku pada peringkat pelahiran setelah penutur dapat lebih banyak belajar bertutur melalui pengalaman daripada melalui kecergasan otaknya.
c. Individu lebih banyak belajar bertutur melalui pengalaman daripada melalui kecergasan otaknya.
d. Aspek fizikal, kesihatan, persekitaran dan jantina boleh mempengaruhi kemahiran bertutur.
e. Pertuturan yang dapat dikuasai dengan baik akan menghasilkan tabiat berbahasa yang baik. Tabiat berbahasa yang baik itu pula membolehkan penutur berinteraksi atau berkomunikasi secara berkesan.
f. Penutur fonologi yang baik boleh menguasai sesuatu bahasa dengan memberi tumpuan kepada aspek fonologi, struktur, intonasi, dan penguasaan sistem bunyi.
Tujuan Bertutur.
Bertutur atau bercakap merupakan suatu kemahiran bahasa. Dalam komunikasi lisan terdapat dua pihak, iaitu penutur sebagai penghantar komunikasi lisan dan pendengar sebagai penerima komunikasi lisan.Terdapat beberapa tujuan bertutur iaitu :
i. Bercakap untuk tujuan memaklumkan.
Bercakap bertujuan memaklumkan orang lain tentang sesuatu perkara yang mungkin berbentuk nasihat, tunjuki ajar dan berita. Bagi profesion tertentu, terdapat orang yang tugasnya memeberitahu atau memaklumkan kepada orang lain tentang sesuatu, misalnya, guru atau pengajar dan jurujual
ii. Bercakap untuk keseronokkan
Di mana-mana sahaja kita pergi dan apa pun yang kita buat, kita suka bercakap atau berbual dengan orang lain. Biasanya, bercakap atau bersembang dengan orang lain memang menyeronokkan kita, terutama apabila kita berhimpun atau berkumpul dalam sesuatu majlis keramaian seperti majlis perkahwinan dan majlis kenduri.
Dalam keadaan seperti di atas, banyak yang berlaku adalah perbualan sosial, kadangkala kita diminta atau dijemput untuk memberi sedikit ucapan secara spontan yang berkaitan dengan sesuatu majlis.
iii. Bercakap untuk tujuan mempengaruhi.
Bercakap untuk memengaruhi orang lain merupakan perkara biasa dalam kehidupan manusia dan merupakan asam garam dalam perhubungan harian sama ada dari segi sosial, politik, ekonomi dan agama. Sebagai contoh, ahli politik yang berkempen semasa pilihan raya bertujuan untuk mempengaruhi rakyat, begitu juga pendakwah agama, peniaga dan sebagainya.

Malahan, kadangkala kita bercakap kerana kita berasa amat perlu mempengaruhi orang lain sama ada untuk kebaikan orang itu atau diri kita sendiri, atau untuk kebaikkan kedua- duanya.
iv. Bercakap untuk tujuan menyelesaikan masalah
Tiada manusia yang boleh lari daripada masalah. Oleh yang demikian, apabila timbul masalah, perkara tersebut perlu diatasi atau diselesaikan. Masalah itu boleh jadi pada pada peringkat individu, keluarga, sekolah, institusi, pejabat, negeri atau negara.
Walau pada peringkat apa pun masalah tersebut, kita perlu bercakap untuk menyelesaikan sebarang masalah, kesulitan dan sebagainya. Oleh yang demikian, kita mengadakan mesyuarat, perbincangan , perundingan, simposium, forum, debat dan perbicaraan, misalnya perbicaraan di mahkamah, iaitu perbicaraan yang berbentuk perdebatan antara peguam bela dengan peguam cara yang dihakimi oleh para juri dan tuan hakim. Tetapi semua pihak perlu bercakap (termasuk orang yang dikatakan bersalah dan saksi-saksi). Matlamatnya adalah untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul melalui perbicaraan tersebut. Pada asasnya cara untuk menyelesaikan masalah itu adalah dengan bercakap melalui perbicaraan mahkamah yang melibatkan peguam.
Aspek- Aspek Pertuturan.
Bahasa pertuturan melibatkan pelbagai aspek. Antara yang penting adalah sebutan intonasi, tekanan, jeda, mora, dan sebagainya. Berikut diperlihatkan aspek- aspek tersebut secara ringkas :
1.    Sebutan.
Sejak peringkat rendah lagi, pelajar telah diajar mengenal huruf dan bunyi setiap huruf, suku kata, perkataan, rangkai kata, dan kalimat. Mereka kemudian dilatih menyebut aspek tersebut. Semua ini bertujuan untuk melatih pelajar supaya dapat menyebut sesuatu dengan tepat seperti yang sepatutnya. Mereka harus boleh menyebut sesuatu dengan betul mengikut bunyi, ejaan dan makna. Biasanya, kesalahan menyebut sering berlaku dalam kalangan para pelajar bahasa kedua. Gangguan bahasa ibunda sering menghalang pembelajaran mereka.
Sebutan ialah cara kita menyebut atau membunyikan sesuatu perkataan dalam sesuatu bahasa. Dalam mana-mana bahasa di dunia ini terdapat dua cara penuturnya menyebut sesuatu perkataan dalam bahasa itu, iaitu sebutan secara standard dan sebutan secara dialek. Biasanya, dalam negara yang besar saiznya dan ramai bilangan penduduknya (seperti China, Rusia dan India), sesuatu perkataan disebut menurut daerah dialek-dialek tersebut.
Sungguhpun saiz negara kita ini tidak begitu besar dibandingkan dengan negara yang tersebut di atas, namun terdapat banyak dialek di Malaysia. Selain dialek atau bahasa daerah, bahasa ibunda murid yang bukan berketurunan melayu juga boleh mempengaruhi sebutan mereka apabila mereka bertutur dalam bahasa Melayu. Misalnya: ikan dalam bahasa Melayu baku disebut ike ( dialek Kelantan), ikang (dialek Terengganu)
Biasanya, murid-murid di Kelantan mengalami masalah sebutan baku. Guru boleh mengatasi masalah tersebut melalui kaedah yang berikut :
a. Mengadakan latih tubi untuk menyebut perkataan yang bermasalah bagi murid- murid.
b. Menperdengarkan kepada murid model sebutan bahasa Melayu baku daripada radio, televisyen dan sumber- sumber lain dengan kerap.
c. Menggalakkan dan memperbanyakkan latihan murid bercakap menggunakan sebutan baku dalam situasi formal dan tidak formal, misalnya, di luar bilik darjah seperti di kantin dan di padang permainan, dan semasa kegiatan kokurikulum di sekolah.
2.    Tekanan.
Tekanan adalah salah satu cara menyebut perkataan, frasa atau ayat dengan memberikan tekanan pada tempat-tempat tertentu. Biasanya, tekanan itu dilakukan pada suku kata dan bertujuan untuk menandakan keras atau lembut sesuatu ucapan itu.
Dalam bahasa Melayu, tekanan tidak membezakan makna yang mungkin hanya untuk menyedapkan percakapan atau bacaan (misalnya dalam sajak) atau menandakan tempat- tempat penting atau yang perlu diberikan perhatian.
Tekanan juga adalah tempat-tempat suara ditekankan apabila menyebut sesuatu perkataan menurut suku kata dalam sesuatu perkataan. Tekanan pada peringkat perkataan boleh disamakan dengan rentak dalam muzik iaitu apabila tekanan itu berubah dari satu perkataan kepada satu perkataan yang lain.
Dalam bahasa Melayu, aspek tekanan bagi peringkat perkataan (antara suku katanya) kurang ketara jika dibandingkan dengan peranan tekanan sesuatu suku kata bagi perkataan bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, tekanan memainkan peranan penting dalam menyebut sesuatu perkataan atau ayat kerana tekanan menguatkan aspek makna dalam konteks ayat.
3.    Jeda.
Jeda biasanya disebut juga sebagai persendian iaitu unsur ini digunakan untuk memisahkan elemen-elemen linguistik seperti perkataan, rangkai kata, atau ayat. Dalam sesuatu ayat yang diucapkan, jeda digunakan sebagai hentian sebentar. Lambang jeda ditandai /#/, dan apabila digunakan jeda boleh membawa makna yang berbeza. Contoh penggunaan jeda adalah seperti berikut :
/#saja minum susu lembu#/
(maksudnya : orang yang bercakap itu hanya minum susu lembu dan bukan susu yang lain).
/#saja minum susu # lembu #/
(maksudnya: orang yang bercakap itu memanggil orang yang dilawan bercakap itu sebagai lembu dan menyatakan yang dia hanya minum susu)
Lambang jeda yang menunjukkan pemisahan antara suku kata atau perkataan biasanya digunakan seperti ini /+/. Dalam bahasa Melayu, lambang ini boleh membezakan makna.
Misalnya, perkataan- perkatan yang berikut:
a. Berikan 1. Ber + ikan (maksud : mempunyai ikan)
2. berikan (maksud : menyerahkan)

b. Beritahu 1. Beri + tahu (maksud : memberi sejenis makanan)
2. beritahu (maksud : member pengetahuan)
4.    Intonasi.
Intonasi ialah keadaan bunyi yang menaik atau menurun sewaktu sesuatu ayat itu dilafazkan. Kadang-kala disebut sebagai nada suara. Intonasi ayat dalam bahasa Melayu biasanya tidak sama dan berbeza-beza mengikut jenis ayat yang dituturkan. Intonasi boleh menurun, boleh menaik, boleh mendatar, boleh meninggi dan sebagainya. Ayat tanya biasanya mempunyai intonasi yang menaik pada akhir ayat. Ayat penyata pula mempunyai intonasi yang menurun.
5.    Tatabahasa.
Tatabahasa adalah satu sistem pertuturan atau undang- undang yang menggabungkan perkataan untuk membentuk ayat- ayat. Peraturan atau undang-undang ini mempunyai kaedah dan formula tertentu.
Tatabahasa terdiri daripada aspek fonologi, morfologi, dan sintaksis. Dalam bahasa pertuturan (lisan), walaupun lumrahnya aspek tatabahasa tidak begitu dititikberatkan tetapi untuk memperoleh kebiasaan bertutur dan bercakap dengan sempurna dan berkesan, aspek ini haruslah ditekankan. Seseorang pelajar harus dipastikan boleh bercakap mengikut tatabahasa yang betul.
Dari segi fonologi, pelajar harus boleh membunyikan kata dan menyebutnya dengan tepat. Dari segi morfologi, mereka harus boleh memilih, membina, dan menggunakan perkataan dengan tepat dan betul. Dari segi sintaksis pula, mereka perlulah boleh membina ayat-ayat dengan menggunakan tatabahasa yang betul, jelas dan kemas. Penggunaan intonasi, tekanan, jeda, gaya dan sebagainya harus sesuai dengan bahasa yang dituturkan.
6.    Kelancaran.
Kelancaran bermaksud boleh bertutur atau bercakap dengan baik dan kemas. Seseorang pelajar itu tidak akan menghadapi sebarang masalah atau gangguan semasa percakapan itu berlangsung.
Dia boleh mengeluarkan idea, pendapat dan pandangan dengan baik dan menuturkan idea, pandangan dan pendapat tersebut dalam bahasa yang kemas, licin dan teratur.
7.    Kefasihan.
Kefasihan beerti boleh bercakap bukan sahaja dalam bentuk yang kemas, teratur dan licin, tetapi boleh juga membunyikan kata atau menyebut perkataan yang dituturkan itu secara tepat dan jelas. Pada tahap ini, seseorang itu telah mencapai kesempurnaan berbahasa. Ia boleh menuturkan bahasa itu seperti seorang penutur jati bahasa tersebut.
8.    Laras Bahasa.
Laras bahasa dalam konteks ini beerti kemampuan menggunakan bahasa itu dalam berbagai-bagai konteks, suasana dan situasi yang sesuai. Tujuan utama melatih pelajar menggunakan bahasa mengikut laras-larasnya yang betul adalah untuk membolehkan mereka menggunakan bahasa itu untuk tujuan berkomunikasi secara tepat dan dapat digunakan dalam konteks yang sesuai. Penggunaan bahasa diberi keutamaan di samping kegunaannya.
Laras yang berkaitan dengan kemahiran bertutur ini adalah laras bahasa lisan. Konsep laras telah diperkatakan oleh seorang ahli linguistik Barat yang bernama Reid pada tahun 1956. Antara lain beliau menjelaskan bahawa seseorang penutur dalam situasi bahasa yang berbeza-beza akan menggunakan laras mengikut situasi sosial yang berlainan. Dalam erti kata yang lain, penutur itu akan menggunakan laras yang distingtif. Reid telah menggunakan konsep ini sebagai istilah teknik untuk menyatakan perbezaan perlakuan bahasa seseorang individu.
Laras lisan lebih bersifat sederhana serta kurang mematuhi peraturan-peraturan nahu seperti yang dimestikan dalam gaya bahasa tulisan. Ayat-ayat adalah pendek, ringkas dan penggunaanya amat bergantung kepada intonasi, jeda, tekanan, nada dan sebagainya. Ciri- ciri paralinguistik yang melibatkan gerak-geri badan juga adalah penting untuk menyampaikan maksud atau makna tertentu.
Za’ba membahagikan bahasa lisan kepada dua jenis, iaitu gaya cakap mulut dan gaya bahasa pasar. Kedua- duanya mempunyai perbezaan. Gaya cakap mulut digunakan apabila orang Melayu bercakap sesama sendiri.
Bahasa cakap mulut yang digunakan biasanya mempunyai susunan yang ringkas, mudah, pendek dan kadang- kala terdapat beberapa perkataan yang tidak terdapat dalam bahasa Melayu tulisan. Selain itu, gaya bahasa cakap mulut banyak menggunakan singkatan seperti tak, nak, dah, ni, tu, yang kata penuhnya terdiri daripada kata tidak, hendak, sudah, ini, dan itu.
Gaya bahasa pasar Melayu pula ialah bentuk bahasa yang digunakan apabila orang Melayu bertutur dengan bangsa asing. Gaya bahasa yang digunakan ketika berkomunikasi ialah gaya kacukan, iaitu yang mengikut gaya mirip kepada susuk dan telor pengucapan bahasa asing.
Gaya bahasa juga boleh berdasarkan nada yang telah dikenal pasti oleh Gorys Keraf (1981) dalam tiga gaya bahasa, iaitu gaya yang sederhana, gaya yang mulia dan bertenaga dan gaya menengah :
a) Gaya yang sederhana.
Gaya yang digunakan untuk memberi arahan, perintah, pelajaran, bahan kuliah dan sebagainya. Ciri-ciri utama gaya ini adalah sifat kesederhanaan yang berdasarkan tujuan untuk menyampaikan maklumat, bahasa untuk menyentuh perasaan atau menghasilkan suasana tertentu.
b) Gaya yang mulia dan bertenaga
Gaya bahasa ini bertujuan menggerakkan pendengar atau pembaca ke arah sesuatu tindakan. Oleh itu, gaya ini menekankan aspek tenaga yang ada pada bahasa melalui pilihan atau susunan kata-kata tertentu. Gaya sebegini juga sering menggunakan nada agung dan kemuliaan.
c) Gaya menengah
Gaya menengah ialah gaya yang diarah kepada usaha untuk menimbulkan suasana tenang dan damai. Nada yang bersifat lemah- lembut, penuh kasih sayang dan mengandungi unsur-unsur lucu yang sihat. Anatara situasi yang menimbulkan penggunaan gaya menengah ialah situasi berpesta dan rekreasi.
9.    Panjang dan pendek (mora)
Panjang dan pendek sebutan atau ucapan adalah kadar sesuatu bunyi itu diucapkan. Konsepnya adalah sama dengan harakat dalam bahasa Arab. Unsur ini biasanya tidak jelas dalam bahasa Melayu dan sekiranya ada pun tetap tidak membezakan makna.
Penggunaan unsur mora agak jelas dalam bahasa Inggeris, misalnya:
pendek makna panjang makna
/sit/ sit duduk /si:t/ set tempat duduk
/fit/ fit sesuai /ft:tt/feet kaki
/hit/ hit pukul /hi:t/ heat hangat(haba)
/ful/ full penuh /fu:l/ fool bodoh
10. Nada
Nada ialah keadaan bunyi yang menaik atau menurun sewaktu sesuatu perkataan atau suku kata itu dilafazkan. Dalam bidang muzik umpamanya, terdapat lapan nada, iaitu Do, Re, Mi, Fa, So, La, Ti, Do. Setiap nada tersebut mewakili satu suku kata. Dalam bahasa Melayu, nada tidak bersifat fonemik. Kewujudannya lebih ketara dalam bahasa Cina. Misalnya, ma dalam bahasa itu boleh bermaksud emak, atau kuda, atau jerami, atau marah. Ini semua bergantung kepada cara yang dilafazkan.
Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pertuturan
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pertuturan seseorang individu. Antaranya adalah seperti berikut :
1.    Umur
Umur seseorang dapat membezakan pertuturan. Kanak-kanak bertutur secara pelat dan tidak lancar manakala orang dewasa pula dapat bertutur dengan lancar dan butir-butir pertuturan dapat difahami dengan jelas.
2.    Alam sekeliling.
Alam sekeliling atau sesebuah kawasan dapat mempengaruhi pertuturan seseorang individu ini kerana setiap kawasan yang berbeza mempunyai dialek kawasan masing-masing. Sebagai contoh, pelajar yang tinggal di Kelantan akan bertutur dalam dialek Kelantan kerana sejak kecil mereka telah diajar dan diasuh dengan dialek kawasan tersebut. Biasanya faktor taraf sosioekonomi dan perhubungan keluarga boleh mempengaruhi perkembangan bahasa kanak-kanak.
3.    Fizikal.
Pertuturan biasanya terhasil daripada organ-organ vocal manusia. Jika secara fizikalnya didapati organ-organ ini rosak atau tidak dapat berfungsi dengan baik, maka sudah pasti kanak-kanak itu tidak dapat bertutur dengan baik. Kecacatan fizikal dapat mempengaruhi pertuturan sesorang.
Hal ini kerana, jika seseorang individu itu mengalami kecacatan di bahagian mulut atau hidung, mereka tidak dapat bertutur dengan baik dan kadangkala perkataan yang dituturkan sukar difahami oleh orang lain.
4.    Jantina
Jantina yang berbeza dapat mempengaruhi pertuturan. Lelaki kebiasaannya bertutur dengan suara yang kasar atau parau manakala perempuan pula akan bertutur dengan sopan dan lemah lembut. Melalui kajian yang dijalankan, didapati kanak-kanak perempuan terlebih dahulu dapat bercakap berbanding kanak-kanak lelaki. Hal ini disebabkan oleh perkembangan jasmani kanak-kanak perempuan yang berkaitan dengan urat saraf pertuturan mereka yang berlaku lebih cepat berbanding kanak-kanak lelaki.
5.    Kesihatan.
Kesihatan amat penting untuk mendapatkan pertuturan yang baik dan lancar. Jika seseorang individu itu menghadapi masalah kesihatan, pertuturan mereka tidak jelas dan tidak dapat menyampaikan maksud yang ingin dinyatakan . sebagai contoh, pesakit strok atau angin ahmar, mereka tidak dapat bertutur dengar lancar dan baik kerana kesihatan mereka amat lemah dan sukar untuk bercakap.
Hal ini akan menyebabkabkan halangan dalam komunikasi. Selain itu, jika seorang kanak-kanak mendapat sakit yang berlanjutan ketika masih kecil, penguasaan bahasa mereka akan terganggu. Biasanya kanak-kanak yang lemah dan sakit tidak mempunyai kekuatan untuk berfikir dan bercakap.
6.    Kecerdasan.
Kecerdasan pula melibatkan proses minda. Setiap orang mempunyai kecerdasan otak masing-masing. Kecerdasan seseorang dapat dibezakan melalui pertuturan mereka. Sesorang yang cerdas dapat mengeluarkan idea atau pendapat yang bernas serta dapat menyelesaikan sesuatu masalah dengan cepat dan betul. Sekiranya seseorang itu bertutur tanpa apa -apa maklumat yang ingin disampaikan, mereka digolongkan dalam kalangan orang yang kurang cerdas.
Peringkat-peringkat Kemahiran Bertutur.
Untuk mencapai objektif kemahiran bertutur, iaitu bertutur dengan fasih dan dapat mengeluarkan bahasa dengan tepat dan sesuai dalam pelbagai situasi perhubungan di sekolah dan masyarakat, kemahiran bertutur perlu dipelajari berperingkat-peringkat. Peringkat kemahiran bertutur terbahagi kepada tiga seperti yang ditunjukkan pada rajah berikut :
1.    Peringkat Awal.
Pada peringkat awal, pertuturan biasanya berlaku dengan bertanya tentang hal-hal yang berkaitan dengan diri serta pengalaman murid-murid. Contohnya seperti bertanya khabar serta tentang kehidupan seharian yang dilalui oleh murid tersebut. Seseorang guru pula haruslah bertutur dengan pelajar mereka menggunakan perkataan yang sopan dan bertatasusila. Pada peringkat ini juga, seseorang guru haruslah bercakap dengan terus terang dan ikhlas terhadap pelajar mereka tentang sesuatu perkara.
2.    Peringkat Pertengahan.
Pada peringkat pertengahan, murid-murid diajar untuk membuat deskripsi tentang sesuatu objek dan gambar. Kemudian guru akan bercerita berdasarkan satu siri gambar atau gambar-gambar bersiri kepada murid-murid tersebut. Selain itu, pada peringkat ini juga guru akan mendeskripsikan pengalaman atau sesuatu peristiwa kepada murid-murid tersebut.
Pelajar juga diajar untuk membuat ucapan pendek dan ringkas serta mengambil bahagian dalam aktiviti perbualan yang mudah. Kemudian, pelajar yang lain akan memberi komen secara mudah serta membuat ulasan, memberi pendapat atau pandangan terhadap sesebuah aktiviti yang dijalankan di dalam kelas.
3.    Peringkat Maju.
Pada peringkat maju pula, proses pertuturan biasanya berlaku untuk membuat analisis atau inferens, ramalan, pandangan, dan justifikasi seperti mengemukakan pendapat atau cadangan serta berunding secara santun untuk mendapat persetujuan dan kata sepakat.
Hal ini dapat kita perhatikan dalam mesyuarat sosial seharian, perbincangan untuk mendapatkan kata sepakat merupakan contoh pertuturan peringkat maju. Selain itu, pada peringkat ini pelajar diajar untuk membuat pertimbangan untuk mencapai sesuatu keputusan keputusan. Keputusan yang dipilih mestilah berdasarkan pertimbangan yang dibuat. Pelajar juga diajar untuk menyampaikan maklumat untuk tujuan tertentu serta dapat memberi respon peribadi tentang karya sastera ataupun tentang sesuatu perkara.
Jenis-jenis Aktiviti Bertutur.
Terdapat pelbagai jenis aktiviti yang diklasifikasikan sebagai aktiviti bertutur iaitu seperti berikut :
Berbual
Berceramah
Bercerita
Berpidato
Berpuisi
Berbincang
Cara Meningkatkan Kemahiran Bertutur
Berdasarkan hakikat ini, maka, eloklah guru memilih aktiviti pengajaran untuk tujuan tersebut seperti cadangan yang berikut:
a. Aktiviti bercakap untuk keseronokkan
1. Murid menyampaikan cerita.
2. Murid menyampaikan lawak atau jenaka.
3. Murid menyampaikan sajak atau sebagainya.
4. Murid menyanyi.
5. Dua orang murid berbual (melalui telefon). Guru boleh menyuruh dua orang murid berlakon atau berbual seolah-olah mereka sudah lama berkenalan atau baru sahaja berjumpa dan ingin berkenalan.
6. Murid berucap dalam majlis hari jadi atau majlis perpisahan seseorang kawan atau guru.
7. Murid mengucapkan selamat datang kepada rakan baru dalam kelas atau guru baru yang datang mengajar di kelas mereka.
8. Murid menyampaikan pidato orang kenamaan. Misalnya, pidato yang pernah dibacakan oleh Tuanku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 31 Ogos 1957.
b. Aktiviti bercakap untuk memaklumkan.
1. Murid membaca berita dalam radio atau televisyen.
2. Murid membuat demonstrasi di hadapan kawan- kawannya di dalam kelas tentang cara membuat sesuatu, misalnya, cara menggunakan kamera , atau cara memasak sesuatu masakan.
3. Murid membuat pengumuman tentang aktiviti yang berlaku di sekolah , misalnya, tentang rancangan atau jadual kokurikulum.
4. Murid memberi taklimat tentang rancangan atau program yang berkaitan dengan sesuatu projek sekolah, lawatan, strategi permainan dalam perlawanan bola sepak, ragbi, bola jaring atau bola keranjang.
5. Murid membuat laporan secara lisan tentang lawatan, aktiviti kelab atau persatuan di sekolah.
6. Murid membentangkan secara lisan hasil bacaan atau temu duga yang dijalankan berkaitan dengan sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru. Aktiviti ini adalah kerja kumpulan. Untuk menjalankannya, murid-murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan diberikan tugas oleh guru untuk mencari bahan yang berkaitan dengan subtajuk dalam sesuatu karangan atau esei.

c. Aktiviti bercakap untuk mempengaruhi.
1. Murid bercakap dalam aktiviti perbahasan (debat) sama ada sebagai pencadang atau pembangkang.
2. Murid berkempen untuk menjadi wakil kelas, ketua darjah atau ketua murid.
3. Murid berucap atau berkempen bagi mendapatkan ahli baru untuk sesuatu persatuan yang diwakilinya di sekolah.
4. Simulasi murid berkempen untuk mempengaruhi orang supaya membeli atau mencuba sesuatu barang baru dalam pasaran, misalnya, barang elektrik, sabun pencuci, berus gigi, pencuci pinggan mangkuk atau penyedut habuk.
d. Aktiviti bercakap untuk tujuan menyelesaikan masalah.
1. Murid berbincang untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Masalah yang dipilih oleh guru eloklah yang berkaitan dengan kehidupan murid di sekolah atau di rumah. Misalnya, tentang kes kecurian buku atau wang di bilik darjah, kebersihan kantin, kes murid merosakkan harta benda sekolah atau mencalarkan kereta guru.
2. Murid bermesyuarat atau berbincang tentang bagaimana hendak mengumpulkan wang melalui aktiviti di sekolah untuk mendapatkan wang bagi membina dewan sekolah, membeli bas sekolah, membesarkan perpustakaan dan sebagainya.
Dalam hal ini guru bahasa perlu mengatur, mengajar, mengawas, membimbing, menegur dan membetulkan murid dalam menjalankan atau mengambil bahagian dalam mesyuarat, perbincangan atau forum adalah terhad.
3. Simulasi murid menjadi hakim, peguam bela atau pendakwa dalam sesuatu perbicaraan. Kes yang dibicarakan biarlah yang boleh menarik minat dan menyeronokkan murid. Amat baik sekiranya guru mengadakan simulasi perbicaraan yang menyerupai mahkamah dengan menjadikan kelas itu sebagai mahkamah. Selain berlakon sebagai hakim, peguam bela, pendakwa dan orang yang dituduh atau didakwa, murid- murid lain boleh disuruh berlakon sebagai saksi, pegawai polis dan juri.
4. Simulasi runding cara antara dua atau tiga murid, dengan seorang daripada mereka menjadi guru pembimbing, dan yang lain berlakon sebagai murid yang mempunyai masalah pembelajaran. Mereka bercakap dan berunding tentang masalah tersebut dan mencari jalan untuk mengatasinya.
5. Simulasi murid yang bergaduh dan murid ketiga berlakon sebagai orang ketiga yang cuba mendamaikan atau menyelesaikan perselisihan faham tersebut dengan cara berunding supaya kedu- duanya berbaik semula.
6. Simulasi parlimen bersidang. Murid-murid dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu parti pembangkang dan parti pemerintah. Guru atau ketua darjah boleh menjadi Tuan Pengerusi (Tuan Yang Dipertua). Isu yang dibincangkan mungkin masalah pendatang haram atau masalah penyalahgunaan dadah.

No comments:

Post a Comment